Pesta Menuai Ikan Bombon di Kiulu tahun 2014 (Galeri Gambar)

Penduduk Kiulu mengambil kesempatan sempena musim kemarau untuk menuai hasil Bombon di sepanjang Sungai Kiulu.

Berikut sebahagian gambar dibeberapa buah kampung sepanjang sungai Kiulu sempena musim menuai Bombon atau “mongoi bombon” tahun 2014.

 

Sambutan Tahun Baru Cina di PDK Tamparuli

TAMPARULI: Kerajaan sentiasa mengambil kira keperluan bagi golongan yang kurang bernasib baik dan orang kurang upaya (OKU).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata, dalam kesibukan kerajaan melaksanakan pelbagai agenda demi kemajuan negara dan di samping juga pelbagai perayaan yang disambut kaum demi kaum, golongan yang kurang bernasib baik tidak pernah dilupakan.

“Pihak kerajaan sentiasa akan menyediakan peruntukan khas bagi pusat yang memperjuangkan kebajikan golongan ini terutamanya rumah-rumah kebajikan termasuk pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina di bangunan PDK Tamparuli, kelmarin.

Katanya, sebagai salah satu usaha ke arah membantu PDK di situ, beliau akan mencadangkan beberapa persatuan atau syarikat yang boleh menghulurkan bantuan kepada pusat ini nanti.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para Ahli Jawatankuasa PDK Tamparuli kerana sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan selama ini semata-mata bagi membantu pusat ini serta penghuninya,” kata Joniston

Terdahulu, Pengerusi PDK Tamparuli, Yabin Sinduman memberitahu, PDK Tamparuli kini mempunyai seramai 50 pelatih dan seramai empat petugas termasuk seorang penyelia.
Menurut beliau, pusat itu juga kini sedang mengumpul dana untuk membeli kenderaan sebagai kemudahan untuk tujuan menghantar, mengangkut barang dan sebagainya.

“Dengan penuh rasa rendah diri, kami di PDK Tamparuli ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para penyumbang yang telah membantu kami dari segi kewangan selama ini,” katanya.

Dalam majlis berkenaan Kelab Tamparuli Sabah diketuai Pengerusinya, Francis Soon telah memberi sumbangan wang sebanyak RM500 dan Ang Pau kepada para penghuni dan tetamu yang hadir.

Sambil itu, tetamu jemputan Mr. Chu turut menghulurkan bantuan RM500 manakala Kapitan Hiew Then Loi menyumbang sebanyak RM200 kepada PDK Tamparuli.

Turut hadir Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, PKR Kiulu, Kumin Gabpai dan Pemaju Mukim Tamparuli, Ah Hill Atub.

YB turun padang – Tamu Kiulu

KIULU 28 Januari 2014. Penantian penjaja tempatan di tamu Pekan Kiulu untuk mendapatkan gerai tempat menjual hasil pertanian mereka bakal tertunai tidak lama lagi. Ini berikutan program turun padang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai bersama Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tuaran(MDT) yang baru Suhaimi Ismail untuk meninjau keadaan tamu dan kemudahan awam di Pekan Kiulu.

Dalam lawatan kerja itu, Suhaimi bersetuju dengan cadangan ADUN supaya gerai dibina untuk keselesaan penduduk tempatan menjual hasil pertanian mereka. Mengambil kira sambutan penduduk tentang cadangan itu, ADUN berharap pembinaan gerai itu dapat dipercepatkan. Dalam lawatan itu Suhaimi mengarahkan supaya tempat pembuangan sampah di Pekan itu dipindah ke tempat yang sesuai untuk mengatasi masalah bau busuk yang mengakibatkan ketidakselesaan warga dan pengunjung pekan itu.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah pegawai daripada MDT. Mereka turut melawat tandas di pekan itu yang sudah siap tapi belum digunakan kerana masalah menentukan pengendali kemudahan itu. Joniston dan Suhaimi juga sempat meninjau keadaan Bangunan Mahkamah Anak Negeri (MAN) yang dalam keadaan daif dan sempit. Joniston sebelum ini telah memohon peruntukan daripada Kementerian Kerajaan Tempatan untuk  pembinaan bangunan MAN baru. Suhaimi memberi jaminan MDT akan mengambil tindakan yang perlu untuk mengindahkan kawasan pekan Kiulu.

Pegawai MDT akan menyediakan pelan lanskap menyeluruh untuk pekan Kiulu dan menjadikannya sebagai tarikan pelancong.

Pekan Kiulu yang terletak kira-kira 60KM daripada bandaraya Kota Kinabalu merupakan satu-satunya pekan di dalam kawasan DUN Kiulu dan merupakan destinasi utama pelancong yang mengemari acara berakit jeram.

Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia

KIULU 24 Januari 2014. Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran Malaysia telah berusaha memastikan bahawa setiap pelajar berpeluang mendapat pendidikan yang sama rata tanpa menyisihkan kanak-kanak dari keluarga yang berpendapatan rendah dan mereka yang berasal dari kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, berkata pelbagai jenis bantuan telah disalurkan bagi memastikan para pelajar berpeluang untuk mencapai kejayaan termasuk bantuan awal persekolahan sebanyak RM100 seorang.

Beliau menaruh harapan supaya semua bantuan yang diberikan oleh kerajaan ini memberikan kesedaran kepada murid-murid supaya berusaha lebih gigih dan belajar dengan lebih bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan akademik yang cemerlang.

“Kita juga berharap agar para ibu bapa dan masyarakat menyedari usaha murni kerajaan dalam memastikan kanak-kanak dari keluarga yang kurang mampu dapat sama-sama berpeluang untuk mencapai kejayaan.”

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan program penyampaian Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 bagi setiap murid di Sekolah Kebangasaan (SK) Bungoliu, dekat sini kelmarin.

Rata-rata ibu bapa yang hadir menyatakan rasa gembira menerima bantuan itu dan berterima kasih kepada kerajaan kerana telah berjaya meringankan sedikit bebanan keluarga yang berpendapatan rendah.

Suri rumah, Rosniah Gunting 43 tahun dari Kampung Logub Kiulu pula memberitahu, mereka membelanjakan lebih RM500 untuk persediaan persekolahan anak-anak pada tahun ini.

“Walaupun tidaklah terlalu mencukupi tetapi kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya bantuan sebegini dapat meringankan sedikit bebanan perbelanjaan kami, tambahan pula musim hujan ini menjejaskan pendapatan keluarga kami sebagai petani.”

Seorang ibu, Julitah Indam 33 tahun, dari Kampung Kionsom Lama berkata, dengan adanya wang bantuan yang diagihkan itu sekurang-kurangnya beban kewangan mereka dapat diringankan lebih-lebih lagi sekarang barang kebanyakannya agak mahal.

Beliau yang mempunyai 4 anak, di mana tiga darinya merupakan pelajar sekolah menengah dan seorang di Sekolah Kebangsaan (SK) Bungoliu merupakan suri rumah manakala suaminya hanya bekerja sebagai petani.

“Disebabkan tiga anak kami bersekolah di peringkat menengah, perbelanjaan awal persekolahan kami baru-baru ini telah meningkat sehingga mencecah lebih RM1,000.”

Kedua-dua mereka berharap agar pemberian bantuan itu diteruskan setiap tahun kerana ibu bapa daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah terutamanya di kawasan luar bandar sememangnya memerlukan banyak perbelanjaan.

SK Bungoliu kira kira 17 Kilometer jauhnya dari Pekan Kiulu, mempunyai seramai 110 murid yang rata-ratanya datang dari keluarga petani, mempunyai 15 orang guru dan tiga orang kakitangan sokongan.

Kg. Kauluan ditengelami air

Kiulu 15 Januari 2014. Kg. Kauluan didalam kawasan N11 Kiulu telah ditenggelami air berikutan paras Sungai Kauluan yang meningkat mendadak ekoran hujan lebat berterusan melebihi 12 jam sejak kelmarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N11 Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang menghabiskan masa hampir sehari memantau pembinaan laluan sementara ekoran kejadian tanah runtuh di KM6.1 Jalan Tamparuli-Kiulu, hadir melawat Kg.Kauluan pada pukul 4.30petang.

Updates : Jalan runtuh di KM6.1 Jalan Tamparuli – Kiulu

Kiulu 15 Januari 2014. Kerja-kerja membuat laluan sementara di KM6.1 Jalan Tamparuli-Kiulu yang runtuh akibat hujan lebat yang berterusan sejak semalam sedang giat dijalankan oleh pihak kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR).

Kenderaan sudah boleh melalui laluan ini secara berjadual sejak jam 6 petang tadi setelah pihak kontraktor melakukan kerja-kerja membina laluan sementara.

Sementara itu ADUN N11 Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang berada dilokasi kejadian tanah runtuh sejak jam 8pagi sehingga lebih kurang jam 3 petang tadi untuk mempastikan kerja-kerja pembinaan laluan sementara dijalankan segera.

Beliau yang telah menghubungi semua agensi yang terlibat seperti Pegawai Daerah dan Jurutera Daerah sejak kejadian tanah runtuh itu semalam bagi mempastikan laluan itu dipulihkan pada hari ini juga kerana laluan ini adalah laluan utama penduduk Kiulu ke destinasi luar.

Dalam pada itu beliau turut menyeru orang ramai agar bersabar menghadapi ujian bencana alam ini dan mengikut arahan lalulintas dilaluan sementara itu agar semua kerja-kerja berjalan dengan lancar.

Jalanraya Putus akibat tanah runtuh – Jalan Tamparuli – Kiulu Di Tutup Kepada semua jenis kenderaan

Makluman kepada semua pengguna jalanraya Tamparuli Kiulu;

Kiulu 15 Januari 2014. Satu kejadian tanah runtuh telah berlaku di satu lokasi diantara Kg. Rangalau Lama dan Rangalau Baru (dikenali oleh penduduk Kiulu sebagai “Dar” pada kira-kira jam 11.30 malam tadi dan ianya telah menjejaskan laluan Tamparuli – Kiulu. Ianya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan pada masa kini. Pihak polis telah memasang papan tanda dikawasan kejadian.

Adalah dinasihatkan agar pengguna jalanraya menggunakan laluan alternatif Kiulu-Lawa Mandau-Telipok  ke destinasi luar Kiulu.

KiuluKini akan membuat hebahan dari masa ke semasa dan hati hati ketika memandu dan patuhi arahan lalulintas.